Parti Sosialis Malaysia

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan keputusan Kerajaan Negeri Selangor menolak permohonan penduduk untuk mengakses maklumat berkaitan projek Smart Integrated Parking (SIP) di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2011, dengan alasan maklumat tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Dalam satu kenyataan hari ini, PSM menyifatkan tindakan itu sebagai bercanggah dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti, memandangkan projek tersebut merupakan inisiatif awam yang melibatkan kepentingan dan dana rakyat.

“Apakah kandungan maklumat SIP yang begitu sensitif sehingga perlu dilindungi di bawah OSA? Bukankah projek ini melibatkan kepentingan orang ramai?” soal Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Gandipan Nantha Gopalan.

Menurut PSM, meskipun Kerajaan Negeri Selangor mempertahankan pelaksanaan SIP sebagai usaha meningkatkan kecekapan pengurusan tempat letak kereta, penglibatan pihak swasta dalam pemungutan hasil dan operasi penguatkuasaan menimbulkan persoalan tentang tahap ketelusannya.

Beberapa ahli majlis dan penduduk turut menyuarakan kebimbangan terhadap pembahagian hasil dengan syarikat swasta serta kesannya terhadap pendapatan dan pemantauan majlis.

Ahli EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, sebelum ini memberi jaminan bahawa pelaksanaan SIP akan memberi penyelesaian “menang-menang” dan meningkatkan kecekapan sistem parkir di negeri itu.

Namun, PSM menegaskan bahawa tindakan menyembunyikan maklumat berhubung projek tersebut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar yakin dengan manfaat yang dijanjikan.

“Kerajaan Negeri Selangor tidak sepatutnya menggunakan OSA untuk menghalang rakyat daripada mengakses maklumat yang sepatutnya terbuka kepada umum,” tegas parti itu sambil menggesa Menteri Besar Selangor dan EXCO berkaitan memberi penjelasan terbuka berhubung isu berkenaan.

PSM turut mengingatkan bahawa ketelusan dan akauntabiliti merupakan asas kepada tadbir urus yang baik dan perlu menjadi keutamaan dalam setiap projek yang melibatkan dana awam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast