MELAKA – Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan fizikal terhadap anak angkat lelaki mereka berusia lapan tahun, pada Ogos dan Oktober lalu.
Tertuduh, Badrul Amin Yazid dan isterinya, Nur Amiesya Saim masing-masing berusia 27 dan 24 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ayah dan ibu angkat kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ketika kejadian telah mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak itu.
Perbuatan itu adalah dengan cara yang mungkin akan menyebabkannnya mengalami kecederaan fizikal dan emosi yang dilakukan di dua rumah berasingan di Taman Merdeka Jaya, dan Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini kira-kira jam 8.30 malam 20 Ogos dan 29 Oktober lalu.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum RM20 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin dan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani masing-masing menawarkan jaminan RM40,000 dan RM30,000 selain syarat tambahan.
Tertuduh yang menangis ketika prosiding berasingan bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan mempunyai banyak komitmen selain perlu menjaga orang tua yang sakit.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Raja Noor Adilla membenarkan Badrul Amin dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin manakala Rohatul Akmar mengenakan jaminan RM9,000 terhadap Nur Amiesya.
Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam mendekati mangsa dan saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis setiap bulan.
Kes akan disebut semula 16 Disember ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan sepasang suami isteri direman enam hari kerana disyaki mendera anak angkat lelakinya dengan pemetik api dan air panas hanya kerana hilangkan pensel warna di sekolah, bulan lalu.
Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas pengadu iaitu bapa saudara mangsa datang ke rumah adik lelakinya di Batu Berendam pada malam 30 Oktober lalu dan terlihat kecederaan melecur di jari tangan kanan selain kesan parut lama di kaki mangsa. – MalaysiaGazette
















