SEBERANG JAYA – “Saya terima arahan daripada tauke (majikan) untuk lari daripada pemeriksaan JPJ,” itu alasan seorang pemandu bas kilang yang nekad melarikan diri daripada operasi khas bas pekerja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang hari ini.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, pemandu berusia 30-an itu bertindak sedemikian selepas anggota penguat kuasa cuba menahannya ketika operasi dijalankan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dekat sini, sekitar jam 6 pagi.

“Pemandu berkenaan dikatakan baru selesai menghantar pekerja ke kilang sebelum melarikan diri dengan memandu bas secara melulu sejauh lebih lima kilometer dari lebuhraya berkenaan hingga ke kawasan perindustrian Batu Maung sebelum berjaya ditahan anggota penguat kuasa.
“Semakan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak memiliki lesen memandu dan lesen vokasional (PSV), selain kenderaan yang dipandunya tidak mempunyai cukai jalan serta perlindungan insurans yang sah.

“Pemeriksaan turut mendapati pemandu berkenaan mempunyai 10 saman lampau yang masih belum diselesaikan, membabitkan kesalahan sama iaitu tiada lesen, tiada PSV dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya pada sidang media sebaik selesai operasi hari ini.
Tambah Zulkifly, pihaknya menyita bas kilang tersebut selain akan mengambil tindakan terhadap majikan pemandu berkenaan.
Mengulas lanjut Zulkifly berkata, dalam operasi bermula jam 5 pagi itu, sebanyak 215 kenderaan diperiksa dengan 81 saman dikeluarkan, manakala 26 bas kilang diambil tindakan termasuk 20 disita atas pelbagai kesalahan.
Beliau turut mendedahkan, pihaknya turut mengesan beberapa pengusaha menggajikan warga asing sebagai pemandu bas pekerja, sedangkan ia merupakan satu kesalahan kerana warga asing tidak dibenarkan membawa kenderaan seumpama itu.
“Saya ingin mengingatkan pengusaha supaya tidak sewenang-wenangnya menggaji pemandu yang tidak layak.

“Mereka perlu memastikan semua dokumen pemandu, termasuk lesen memandu dan lesen PSV, masih berkuat kuasa sebelum dibenarkan membawa pekerja.
“Pengusaha yang mengambil mudah perkara ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya. – MalaysiaGazette

















bagus..Harap pihak JPJ buat operasi terutama di kawasan Batu Kawan juga.
Periksa pemandu terutama orang asing yang diambil sebagai pemandu.
Tindakan tegas juga kepada majikan/tauke bas atau van kilang yang tidak memikirkan keselamatan penumpang,mereka hanya fikir untung.
Senarai hitam syarikat yang ingkar supaya pihak industri/perkilangan tahu dan tidak mudah ditipu oleh pengusaha bas/van kilang yang begitu