Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Sekretariat ASEAN perlu tampil mempertahankan Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan yang dibuat oleh bekas ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, Jeneral A. Rangsi Kitiyansap yang tular di media sosial.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, Wisma Putra juga harus melakukan sesuatu mengikut saluran diplomatik.

Menurut beliau, tuduhan musuh dalam selimut’ ASEAN yang dibuat Kitiyansap terhadap Anwar itu amat berat, kasar, melampau serta tidak sepatutnya berlaku.

“Tuduhan berat sebegini tidak boleh dipandang ringan.

“Maruah seorang perdana menteri mesti dijaga,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, tular di media sosial wawancara oleh Kitiyansap yang didakwa antara lain melabel Anwar `musuh dalam selimut’ kepada ASEAN apabila menggunakan perjanjian damai Thailand-Kemboja untuk mengangkat diri sendiri selaku Pengerusi ASEAN.

Berdasarkan terjemahan wawanacara itu yang tular, Kitiyansap meluahkan kemarahannya kerana mendakwa Perjanjian Damai Thailand-Kemboja sebenarnya telah membenarkan AS memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.

Dakwanya, perjanjian damai itu telah menggabungkan sekali perjanjian usahasama berkenaan cukai dagangan atau tarif dan nadir bumi (REE) dengan AS.

Malah, dua Ahli Parlimen pembangkang iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) di Parlimen semalam turut mendesak Kementerian Luar Negeri membuat kenyataan balas susulan dakwaan Kitiyansap itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast