SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) sedia bertembung dengan mana-mana calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Sabah meskipun lawannya pemimpin politik berpengaruh dan berpengalaman seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Amanah tidak akan mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan Pakatan Harapan (PH), apatah lagi ia merupakan kerusi sulung kepada parti serpihan Pas itu.
“Kita beri diamanahkan, siapa sahaja pun kita akan cubalah hadapi dalam pilihan raya. Siapa pun bila masuk, bila hantar sahaja borang pilihan raya, kita yakin menang.
“Bila 29 hari bulan nanti, baru kita tahu,” katanya pada sidang media pada Konvensyen Nasional 2025 di sini hari ini.

Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 November 2025
Beliau berkata demikian mengulas khabar angin mengatakan Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dikhabarkan bakal bertukar kerusi dari DUN Kunak ke DUN Sulabayan dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah pada 29 November ini.
Ditanya tentang khabar angin yang bertiup kencang di negeri Pantai Barat itu, Mohamad bagaimanapun kelihatan agak terkejut dan tidak mengetahui perkembangan itu.
“Kalau Presiden Warisan tanding di DUN Sulabayan, saya tak tahulah itu, itu kena tanya pihak Warisan,” katanya.
Selain kerusi DUN Sulabayan, Mohamad masih meletakkan harapan kepada kepimpinan PH untuk memberikan satu lagi kerusi di Sabah.
“Setakat ini Amanah dapat satu kerusi. Kita sedang berusaha untuk mendapat sekurang-kurang satu lagi. Hasrat itu sudah kami disampaikan kepada Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Beliau akan cuba membuat perundingan akhir menjelang penamaan calon pada 15 November nanti,” katanya.
Mohamad turut menyifatkan DUN Sulabayan yang diperolehinya sebagai kerusi yang sukar namun Amanah akan menyumbang kemenangan dan menambah satu lagi kerusi buat PH di Sabah.
“Setakat ini kami sebut Sulabayan, memang satu kerusi yang sukar,” katanya.
Ketika ditanya tentang sejauh mana kepentingan DUN Sulabayan kepada Amanah, Mohamad berkata, ia kerana majoriti penduduk dan pengundinya beragama Islam.
“Kalau kita menang, tambah satu kerusi dan menyumbang (kemenangan PH). Majoriti penduduk Sulabayan adalah orang Islam.
“Tapi Amanah tidak perlu tempat majoriti orang Islam. Mana-mana pun boleh. Sebab sifat kita, rahmatan lil’alamin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















