Majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes, dan H.E. Dr. Shaikh Abdulla bin Ahmed Al Khalifa, Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi dari Kerajaan Bahrain, menandakan potensi besar kerjasama ini serta peranan Bahrain sebagai hab utama dalam strategi rangkaian global AirAsia.

KUALA LUMPUR – Capital A Berhad (Capital A) menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama Kementerian Pengangkutan dan Telekomunikasi bagi menerokai penubuhan Bahrain sebagai hab AirAsia di Timur Tengah.

Ia menandakan permulaan kerjasama jangka panjang bagi menjalinkan hubungan antara ASEAN dan salah satu syarikat penerbangan yang berkembang pesat di serantau dunia.

Surat Hasrat (LOI) tersebut menetapkan kerangka kerja menyeluruh bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang penerbangan dan ekonomi antara Capital A dan Bahrain, seiring dengan aspirasi bersama untuk membuka laluan baharu antara kerajaan Bahrain dan rantau ini.

Ia merangkumi kerjasama pelbagai aspek meliputi operasi syarikat penerbangan pada masa hadapan, kargo dan logistik, keupayaan penyelenggaraan serta pembangunan bakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kerjasama itu merupakan satu langkah strategi bagi penstrukturan semula penerbangannya yang bakal selesai tidak lama lagi di mana Capital A dan AirAsia kini sedang melangkah ke fasa pertumbuhan global yang lebih efektif dan inovatif serta Bahrain akan menjadi landasan kukuh bagi kami untuk berkembang di rantau Timur Tengah.

“AirAsia dibina berasaskan inovasi dan kami terus mentakrif semula model penerbangan tambang rendah.

“Kami telah menjadi perintis dalam menubuhkan syarikat penerbangan di luar pangkalan asal kami di Malaysia dan berjaya mengembangkan operasi ke pasaran kukuh kami di Asean termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

“Bahrain bakal meneruskan semangat inovatif dan perintis AirAsia dalam membangunkan model baharu bagi merealisasikan misi kami ‘Now Everyone Can Fly’ dan misi ini turut diusahakan melalui bidang kerjasama yang sedang diterokai,” katanya dalam satu kenyatan di sini.

Tony menambah, menjelang tahun 2030, selain berpotensi mengendalikan Sijil Operator Udara (AOC) berpusat di Bahrain, pihaknta menjangkakan untuk mengoperasikan lebih daripada 25 penerbangan harian antara Bahrain dan mega hab Asean kami dengan lebih 20 juta penumpang dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ini akan mewujudkan aliran baharu pergerakan para pengembara, perdagangan, bakat dan kargo malah ia bukan sahaja melibatkan bandar utama tetapi juga ke bandar sekunder dan bandar pesat membangun di mana pertumbuhan ekonomi sedang berlaku,” katanya.

Sementara itu,  Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi Kerajaan Bahrain, Dr. Shaikh Abdulla Bin Ahmed Al Khalifa berkata, asrat Bahrain adalah untuk mempelbagaikan ekonomi selaras dengan Wawasan Ekonomi 2030 mendapat dorongan baharu melalui kerjasama dengan Capital A dan AirAsia.

Katanya, ia memperkukuh kedudukan Bahrain sebagai hab pelancongan dan logistik di Timur Tengah, sekaligus meningkatkan peranannya sebagai penghubung strategik yang menghubungkan Asia, Timur Tengah, Eropah, Afrika dan Amerika Syarikat.

“Model kerjasama ini membuka peluang untuk para pelancong dan industri perniagaan, di samping mewujudkan pekerjaan khusus untuk tenaga kerja Bahrain yang berpendidikan serta memberi rangsangan tambahan kepada KDNK negara,” katanya.

Melalui Surat Hasrat (LOI) tersebut, AirAsia akan meneroka pelancaran penerbangan dari Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia ke Bahrain dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan sambungan seterusnya ke Eropah dan Amerika Syarikat.

Kumpulan itu juga akan menilai penubuhan Sijil Operator Udara (AOC) berpusat di Bahrain bagi mengendalikan pesawat badan sempit ke bandar-bandar utama di Timur Tengah, Asia Tengah, Afrika dan Eropah.

Menjelang tahun 2030, AirAsia dijangka akan mengendalikan lebih daripada 25 penerbangan harian melalui Bahrain, membawa lebih 20 juta penumpang dalam tempoh lima tahun akan datang serta menyumbang kira-kira BHD 3 bilion (USD 8 bilion) kepada ekonomi Bahrain. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast