Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli beramah mesra dengan pelanggan ketika hadir merasmikan Kedai Kesum di Pandan Indah, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini membuka sebuah kedai makan bernama Kesum berkonsepkan perusahaan sosial dengan objektif menawarkan makanan pada harga rendah dan berpatutan kepada rakyat.

Menurut Rafizi, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mencabar status quo pasaran makanan siap masak yang terus meningkat saban tahun sekali gus meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah.

“Kalau kita lihat dalam bakul barangan yang membentuk inflasi, komponen yang paling cepat naik harga ialah makanan yang siap dimasak,” katanya sebelum majlis pelancaran Kesum di Pandan Indah hari ini.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli bercakap ketika ditemubual wartawan sebelum merasmikan Kedai Kesum di Pandan Indah, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2025

Beliau berkata, kadar inflasi negara tahun ini dianggarkan sekitar lima hingga enam peratus namun inflasi makanan siap masak meningkat lebih tinggi iaitu antara enam hingga lapan peratus setahun.

“Untuk keluarga berpendapatan rendah, perbelanjaan makanan yang siap dimasak merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan bulanan.

“Jadi, walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai dasar, cabaran utama ialah bagaimana kita boleh menggerakkan pasaran sama ada peniaga mahupun pengguna supaya tidak terus menerima kenaikan harga sebagai sesuatu yang biasa,” ujarnya.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, apa yang perlu diwujudkan ialah gerakan kepenggunaan yang lebih aktif dan budaya peniaga yang yakin mereka masih boleh beroperasi dengan keuntungan sederhana tanpa menaikkan harga secara melampau.

“Satu perkara yang kami cuba lakukan ialah memperkenalkan model perniagaan sosial yang tidak berorientasikan keuntungan semata-mata. Perusahaan seperti ini perlu menyeimbangkan antara tujuan sosial dan daya maju perniagaan,” jelasnya.

Dalam pada itu Rafizi mendedahkan, kos permulaan bagi kedai Kesum jauh lebih rendah berbanding rangkaian francais biasa dengan modal sekitar RM90,000 sahaja.

“Dengan model dan operasi seperti ini, kita boleh menawarkan makanan pada harga antara RM3.50 hingga RM5.90 tapi akhirnya, kita perlu lihat bagaimana tingkah laku pengguna sama ada mereka benar-benar memilih harga berpatutan atau masih terpengaruh dengan jenama dan persepsi ‘mahal itu lebih baik’,” katanya.

Nasi Lemak berharga RM4.90 yang dijual Kedai Kesum di Pandan Indah, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2025

Untuk makluman, Kesum ialah sebuah kedai makan berkonsepkan value meal yang mengutamakan prinsip ‘asal kenyang, sedap dan murah’ selari dengan namanya yang diinspirasikan daripada daun kesum serta singkatan kepada Kenyang, Sedap dan Murah.

Tambahnya, sekiranya sambutan terhadap model itu positif, ia akan diperluaskan bagi mencipta kuasa pasaran baharu yang mampu mengekang kenaikan harga makanan di pasaran.

“Hanya apabila lebih banyak kedai seperti ini wujud, barulah akan ada keseimbangan dan kuasa pasaran yang mengekalkan harga munasabah untuk rakyat,” tegasnya.

Rafizi kini membuat eksperimen dengan membuka dua buah kedai iaitu Fleximart di Shah Alam dan Kesum di sini menggunakan konsep perusahaan sosial yang merupakan perkongsian antara penyumbang modal dan pekerja bagi mewujudkan model ekonomi lebih inklusif dan adil.

Rafizi dengan nada berseloroh menyifatkan Kesum sebagai ‘eksperimen kedua’ dalam usaha berterusan beliau untuk mencabar struktur harga makanan dan membina ekosistem perniagaan yang lebih adil kepada pengguna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast