Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang murid berusia 11 tahun meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa dipercayai akibat insiden lemas ketika menyertai Program Sokongan Keyakinan Air di kolam renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi kelmarin.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pada 5 November lepas dan mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pelajar lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia semalam kira-kira pukul 2.30 petang.

“Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-Shuhadah, Sungai Udang, Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, mangsa merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan menyertai aktiviti berkenaan bersama kumpulan pelajar lain serta beberapa guru pengiring.

Fadil berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta aspek keselamatan penganjuran program tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast