Penoreh getah ditemui mati di pokok rambutan berhampiran kediamannya di Kampung Seri Aman, Jeneri, Kedah hari ini.

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan mati di batang pokok rambutan berdekatan rumahnya di Kampung Seri Aman, Jeneri, Kedah hari ini.

Mayat lelaki yang juga penoreh getah berusia 65 tahun itu ditemui isteri mangsa selepas mendapati suaminya tiada di rumah pada jam 11.30 pagi tadi.

Isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, setelah mencari di sekitar rumah dia menemui mayat suaminya dalam keadaan tergantung di bawah pokok rambutan kira-kira 10 meter dari rumahnya.

Isteri mangsa yang terkejut terus meminta anaknya menghubungi polis dan melaporkan kejadian di Balai Polis Jeniang pada jam 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Safuan Md Noor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Pemeriksaan lanjut bersama pihak Hospital Sik (HS) pada tubuh mangsa mendapati, tiada sebarang kecederaan untuk dikaitkan dengan sebarang kejadian berunsur jenayah.

“Siasatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat jerutan pada leher dengan tali kambing,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Safuan berkata, lelaki itu dikatakan mengalami kemurungan sejak sebulan lalu dan tidak banyak bercakap seperti biasa.

Warga emas itu mempunyai rekod rawatan penyakit darah tinggi setiap bulan.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sik untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast