SEBERANG JAYA – Projek Penyuraian Trafik Lebuhraya Bertingkat Sungai Dua-Juru (PTJSD) disasarkan siap lebih cepat bagi menangani kesesakan yang sering dialami pengguna lebuh raya di utara Semenanjung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan projek itu bukan sahaja bertujuan memberi keselesaan kepada rakyat malah dijangka menarik minat pelabur dengan menamatkan isu kesesakan yang telah lama menjadi rungutan orang ramai.
Beliau menjelaskan, proses perancangan terperinci telah dijalankan bersama pelbagai agensi kerajaan serta pengendali lebuh raya termasuk PLUS Malaysia Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Saya telah mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan memantau projek ini secara dekat untuk memastikan ia dapat disegerakan.
“Setiap kali saya melawat Perak, Pulau Pinang dan Kedah, rakyat sentiasa mengeluh tentang kesesakan di Juru, Sungai Dua, Persimpangan Permatang Pauh dan Jambatan Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, projek yang telah lama dinanti kini akhirnya dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Bercakap mengenai kos projek, Anwar memaklumkan kerajaan menanggung 60 peratus manakala pengendali lebuh raya menampung baki 40 peratus sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan.
“Walaupun kos projek tinggi, kita bersyukur kerana sebahagian besarnya ditanggung sektor swasta. Projek ini juga tidak menjadi isu politik kerana fokusnya adalah memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Untuk rekod, Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) dianggarkan menelan kos RM3 bilion.

Sementara itu, Alexander pada sidang media memaklumkan projek itu dijangka mengurangkan kesesakan trafik sebanyak 30 peratus, sekali gus memendekkan masa perjalanan waktu puncak daripada satu jam kepada hanya 20 minit.
“Tempoh pembinaan dijangka selama 48 bulan dengan kerja fizikal bagi Pakej 1 dijadualkan telah bermula November ini, manakala pakej-pakej lain akan dimulakan pada pertengahan tahun 2026.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2030 dan sepanjang tempoh pembinaan, kita memberi jaminan bahawa Pelan Pengurusan Trafik (Traffic Management Plan) yang teliti akan dilaksanakan supaya gangguan kepada pengguna dapat diminimumkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















