KOTA KINABALU – Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengumumkan enam calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Dua Timbalan Presidennya Datuk Edward Dagul dan Datuk Japiril Suhaimi masing-masing diumum bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau dan Kundasang.

Naib Presiden parti, Gee Tien Siong dicalonkan bagi kerusi DUN Layang; Naib Pengerusi Pemuda, Yong Yit Lee bagi kerusi DUN Likas; Naib Pengerusi SAPP Tanjung Papat, Henley Liew Yun Ye pula akan bertanding di DUN Tanjung Papat dan Ketua Mudanita, Yvonne Yong Yit Phung di DUN Segama.

Setiausaha Agung SAPP, Datuk Richard Yong We Kong berkata, Majlis Tertinggi parti dalam mesyuarat hari ini sebulat suara meluluskan kesemua nama calon berkenaan sebelum diumumkan Presiden parti Datuk Yong Teck Lee di Ibu Pejabat Parti di sini.

Beliau berkata, tiga daripada enam calon iaitu Yong, Henley dan Yvonne merupakan muka baharu yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah pada 15 November ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast