KUALA LUMPUR – Silat perlu diperkasa dalam pendidikan dan diinstitusikan semula di sekolah, institusi pengajian tinggi dan masjid bagi membina generasi akan datang yang berdisplin dan berjiwa bangsa.
Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan menegaskan Silat Melayu bukan sekadar seni bela diri tetapi teras kepada jati diri, adab dan falsafah hidup bangsa.
Beliau yang juga penyadang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM turut menyeru kerajaan agar menjadikan silat sebagai sebahagian kurikulum kebudayaan nasional
“Silat adalah manifestasi ketamadunan Melayu yang meliputi sistem pemerintahan dan peradaban bangsa sejak zaman kesultanan Melayu lama.
“Silat bukan hanya warisan seni tetapi juga wadah mendidik nilai hormat, kesetiaan dan perpaduan masyarakat,” katanya ketika berucap di Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 (KOSSMA25) di sini hari ini.

Konvensyen berlangsung di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia itu menghimpunkan sarjana, pewaris muda dan pengamal Silat dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim mencadangkan penyediaan modul latihan dan manual rasmi bagi menggabungkan aspek fizikal dan spiritual dalam silat.
Beliau juga mahu silat diperkenalkan semula sebagai aktiviti komuniti di masjid.
“Silat perlu berlandaskan nilai Islam agar selaras dengan maqasid syariah.
“Langkah ini mampu melahirkan generasi muda yang sihat jasmani, rohani serta menghargai warisan bangsa.” ujarnya

Menurut beliau, pengamal silat harus menghayati prinsip iman dan ihsan, menjadikan latihan sebagai ibadah serta cara membentuk keperibadian mulia.
KOSSMA25 turut menampilkan Seminar Seni Silat Melayu Antarabangsa, pameran persenjataan Melayu dan demonstrasi oleh lebih 20 perguruan dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Taiwan dan Singapura.
Semua pembentangan ilmiah konvensyen akan diterbitkan dalam prosiding rasmi sebagai rujukan akademik dan warisan dokumentasi kebudayaan. – Malaysiagazette















