SHAH ALAM – Seorang pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) menegur segelintir ahli parti agar menjaga akhlak serta mengelak daripada membuat sangkaan buruk berhubung isu penangguhan pemilihan pimpinan parti.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menegaskan, sejak awal penyertaannya dalam gerakan Islam, nilai sangka baik atau husnuzon sentiasa ditekankan sebagai antara ibadah paling utama manakala sangka buruk pula datang daripada syaitan.
“Kalau kita betul sekali pun, bila kita bercakap dengan niat mengumpat, itu tetap salah dan kalau sangkaan buruk kita itu tidak betul, ia sudah menjadi fitnah,” katanya ketika sesi penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti Amanah di sini hari ini.
Khalid menjelaskan, sehingga kini, belum ada sebarang keputusan dibuat oleh kepimpinan Amanah berhubung isu pemilihan pimpinan parti.
“Belum ada mesyuarat untuk bincang soal penangguhan. Tidak ada keputusan, tidak ada cadangan untuk pinda perlembagaan supaya boleh lanjutkan penggal atau sebagainya.
“Kita pun tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan,” katanya.
Tambah beliau, mengikut perlembagaan parti, pimpinan memang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada pemilihan boleh ditangguh atau tidak, bergantung kepada keadaan semasa.
“Tahun depan, kita tengok kalau berlaku pilihan raya, maka kita akan pertimbangkan. Tapi sekarang, belum ada apa-apa keputusan. Jadi, jangan bergaduh dan jangan percaya khabar angin,” katanya lagi.
Beliau turut menegur tindakan segelintir pihak yang membuat tuduhan tanpa asas dan meminta semua ahli supaya mengawal emosi serta memperlihatkan akhlak terpuji walaupun dalam medan perjuangan politik.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan agar perbahasan mengenai sesuatu usul dibuat berdasarkan fakta bukan andaian atau menilai niat individu lain.
“Jangan hujah atas niat, hujahlah atas fakta. Mana kamu tahu niat orang? Kalau seseorang nak pinda sesuatu perkara, kita lihat isi kandungan cadangannya, bukan tuduh dia ada kepentingan peribadi,” tegasnya.
Beliau turut menolak budaya politik yang suka menuduh tanpa bukti, seperti yang pernah berlaku dalam parti lain.
“Kita tak mahu jadi macam Pas dulu yang sewenang-wenangnya melabel orang ada yang dikata geng Erdogan, ada yang dikaitkan dengan DAP dan sebagainya. Itu budaya asing, tak ada tempat dalam Amanah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















