Seorang Perwakilan Ditarik Keluar Oleh Anggota Skuad Arif pada Konvensyen Parti Amanah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 November 2025

SHAH ALAM – Suasana hari kedua Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) bertukar tegang apabila beberapa perwakilan mendesak agar usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan dibahaskan segera.

Kurang sejam selepas sesi persidangan bermula, kira-kira tiga orang perwakilan tampil ke mikrofon untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap keputusan pimpinan yang tidak membenarkan usul tersebut dibincangkan.

“Duduk, duduk,” ujar pengerusi persidangan, Azhar Abdul Shukur, berulang kali dalam usaha menenangkan keadaan.

Namun selepas desakan berterusan, Azhar akhirnya membenarkan dua perwakilan membentangkan cadangan masing-masing mengenai pemilihan parti.

Keadaan bagaimanapun kembali tegang apabila sesi tersebut bertukar menjadi pertengkaran.

“Kami mahu ia dibahaskan, bukan sekadar dicadangkan” jerit salah seorang perwakilan.

Pertikaian itu menyaksikan dua pendirian berbeza apabila seorang perwakilan mencadangkan agar pemilihan parti ditangguhkan selepas tahun 2026, manakala seorang lagi mahu ia diteruskan seperti yang dijadualkan.

Dalam kekecohan itu, seorang perwakilan dilihat dibawa keluar oleh anggota Skuad Arif, pasukan sukarelawan Amanah.

Ketika itu, seorang lagi perwakilan menghampiri dan menolak individu terbabit sebelum sukarelawan bertindak meleraikan keadaan.

Susulan insiden tersebut, Azhar mengarahkan agar persidangan diteruskan dengan usul lain yang telah diterima untuk dibahaskan.

Usul pertama yang dibincangkan selepas itu ialah cadangan menaikkan had umur sayap wanita muda Amanah daripada 35 kepada 40 tahun.

Semalam, Naib Presiden Amanah, Datuk Mohd Hatta Ramli, menjelaskan bahawa usul berhubung pemilihan parti tidak akan dibahaskan dalam konvensyen kali ini kerana ia dianggap terlalu awal serta tidak selaras dengan perlembagaan parti yang melarang sebarang keputusan dibuat sebelum waktunya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast