Seorang Perwakilan Ditarik Keluar Oleh Anggota Skuad Arif pada Konvensyen Parti Amanah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 November 2025

KUALA LUMPUR – Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) yang berakhir hari ini didakwa bertukar kecoh apabila berlaku perbalahan antara dua puak berhubung usul pindaan perlembagaan parti itu.

Menurut penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar, situasi yang dialami oleh parti pimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu itu kini mirip krisis dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Penyakit dalam Bersatu berjangkit dalam (parti) Amanah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, kekecohan tercetus apabila dua blok perwakilan berbeza pendirian berhubung usul perlembagaan yang mempunyai kaitan dengan kedudukan presiden parti itu.

Jelasnya, ia mencerminkan modus operandi sama seperti yang dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) baru-bari ini.

“Konvensyen Amanah kecoh apabila meletus perbalahan dua puak tentang usul perlembagaan parti itu yang ada kena mengena dengan kedudukan presiden Mat Sabu sampai ada yang kena ditarik paksa keluar dewan,” kata Sayuti.

Beliau mendakwa satu kumpulan mendesak supaya usul tersebut dibahaskan, manakala kumpulan lain menentang sehingga suasana dewan bertukar tegang.

“Perselisihan itu menyebabkan mesyuarat jadi gamat,” katanya lagi.

Mohd Sayuti Omar

Sayuti turut membandingkan insiden itu dengan suasana kecoh dalam PAT Bersatu yang menyaksikan perwakilan saling bertembung suara mempertahankan dan menolak kepimpinan Muhyiddin.

“Bersatu semasa mesyuarat agung baru-baru ini kecoh apabila ada perwakilan melaung minta Muhyiddin turun manakala satu pihak lagi minta dikekalkan,” ujarnya.

Beliau seterusnya menyindir idealisme perjuangan kedua-dua parti itu kini sudah tersasar digantikan agenda peribadi pemimpin.

“Idealisme parti sudah hilang entah ke mana yang diperjuangkan adalah kepentingan peribadi. Mahiddin dianggap sebagai barang expire sementara Mat Sabu pula boleh disifatkan overstay,” katanya.

Awal hari ini, suasana hari kedua Konvensyen Nasional parti Amanah bertukar tegang apabila beberapa perwakilan mendesak agar usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan dibahaskan segera.

Kurang sejam selepas sesi persidangan bermula, kira-kira tiga orang perwakilan tampil ke mikrofon untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap keputusan pimpinan yang tidak membenarkan usul tersebut dibincangkan.

“Duduk, duduk,” ujar pengerusi persidangan, Azhar Abdul Shukur, berulang kali dalam usaha menenangkan keadaan.

Namun selepas desakan berterusan, Azhar akhirnya membenarkan dua perwakilan membentangkan cadangan masing-masing mengenai pemilihan parti.

Keadaan bagaimanapun kembali tegang apabila sesi tersebut bertukar menjadi pertengkaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast