KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memandang serius laporan berhubung penjualan sebahagian tanah milik Zoo Negara kepada pihak swasta serta dakwaan penukaran guna tanah daripada kategori “ruang terbuka” kepada “komersil” dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2035.
Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kedaulatan tanah dan kepentingan rakyat, Putra menegaskan bahawa sebarang tindakan melibatkan aset awam terutamanya yang berkaitan pemeliharaan alam sekitar dan warisan negara mesti dilaksanakan secara telus, beretika dan dengan penglibatan awam yang menyeluruh.
“Zoo Negara adalah institusi nasional yang memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan, konservasi dan pelancongan sejak tahun 1963.
“Justeru, sebarang perubahan terhadap status tanahnya perlu melalui proses yang telus dan inklusif, selaras dengan prinsip perancangan bandar serta undang-undang tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Putra tidak menuduh mana-mana pihak secara melulu, namun menuntut penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan, khususnya Kerajaan Negeri Selangor dan MPAJ mengenai beberapa perkara termasuk proses pemindahan milik atau penjualan tanah berkenaan; justifikasi penukaran zon guna tanah (jika berlaku) termasuk sama ada rundingan awam telah dibuat seperti yang diwajibkan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa.
Shahrulufti turut menggesa supaya semua dokumen berkaitan termasuk pelan tempatan, minit mesyuarat, surat kelulusan serta laporan penilaian impak alam sekitar didedahkan kepada umum bagi menjamin ketelusan dan mengelakkan persepsi negatif terhadap pentadbiran negeri.

Pada masa sama katanya, Putra turut menyokong gesaan masyarakat sivil agar kawasan sekitar Zoo Negara diwartakan sebagai tapak warisan kebangsaan bagi memastikan ia kekal sebagai ruang hijau dan pusat konservasi untuk generasi akan datang.
“Rakyat berhak mengetahui bagaimana tanah-tanah strategik negara diuruskan. Ketelusan bukan pilihan, ia adalah kewajipan,” ujarnya.
Katanya lagi, Putra memberi jaminan bahawa parti itu akan terus memantau isu berkenaan dan tidak teragak-agak mengambil langkah lanjut sekiranya kepentingan awam terus diketepikan. – MalaysiaGazette
















