Operasi Khas Bersepadu di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) awal pagi Ahad. - SUMBER PDRM.

KUALA LUMPUR – Sanggup menghabiskan ratusan ringgit untuk ubah suai ekzos dan beberapa komponen lain demi minat pada dunia permotoran namun dia ditahan polis dalam Operasi Khas Bersepadu di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Datuk Kahar, pelajar kolej berusia 19 tahun itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengubah suai motosikal Yamaha R25 tanpa kebenaran.

Dalam operasi sama, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun turut ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu selain cukai jalan yang tamat tempoh.

Dia juga melakukan kesalahan menggunakan nombor plat palsu bagi mengelak membayar ansuran motorsikal.

Menurut Shazeli, operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ia bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan serta lumba haram yang mengancam keselamatan awam.

“Dalam operasi itu, sebanyak 210 motorsikal telah diperiksa dengan 105 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dan menyita 8 buah motorsikal a di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sebanyak lapan motorsikal turut diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan tiga daripadanya dikenakan saman.

“Kita juga telah menahan empat individu mengikuat Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pihak Agensi Antidadah kebangsaan (AADK) turut menahan lima individu yang disyaki positif dadah dengan tiga daripadanya adalah jenis ganja manakala dua lagi daripada jenis ketum.

Shazeli turut menegaskan bahawa Polis Selangor akan melakukan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan samseng jalanan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai turut diseru untuk memberi maklumat kepada polis bagi membanteras gejala ini demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast