Aznan dan Onn Hafiz menyampaikan bantuan dalam Majlis Makan Malam YAB Menteri Besar Johor bersama Mahasiswa Anak Johor di Perantauan di Kota Kinabalu, Sabah

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM17.78 juta bagi bantuan one-off RM200 kepada lebih 88,000 mahasiswa Johor yang menuntut di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, inisiatif tersebut meliputi peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

“Ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol galakan untuk terus cemerlang di menara gading,” katanya dalam satu hantaran dimuat naik dalam Facebook miliknya.

Terdahulu beliau dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir dalam Majlis Makan Malam YAB Menteri Besar Johor bersama Mahasiswa Anak Johor di Perantauan di Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.

Lebih 500 mahasiswa anak Johor yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah dan Politeknik Kota Kinabalu diraikan dalam majlis itu dan menerima inisiatif tersebut.

Turut berlangsung, penyerahan Bantuan Laptop Siswa Johor dan kemudahan pembelajaran digital bagi menyokong proses akademik mereka melibatkan mahasiswa UMS, UiTM Sabah dan Politeknik Kota Kinabalu.

Ini bagi memastikan akses pendidikan digital dapat dinikmati oleh semua anak Johor tanpa mengira jarak.

Aznan Tamin berharap, inisiatif tersebut akan menjadi suntikan semangat dan sokongan moral kepada para mahasiswa yang sedang menempuh cabaran dunia universiti.

“Ini juga melengkapkan rangkaian bantuan pendidikan negeri seperti Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ), Skim Bantuan Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Skim Pinjaman Pelajaran IPT yang selama ini menjadi tunjang utama kesejahteraan pelajar Johor,” katanya.

Menurutnya, program itu bukan sekadar penyerahan bantuan tetapi manifestasi keprihatinan kerajaan negeri terhadap pelajar yang menuntut jauh di perantauan khususnya di kepulauan Borneo.

Jelasnya, ini membantu mereka merancang keperluan akademik dan kos perjalanan termasuk menampung perbelanjaan pulang ke Johor untuk bertemu keluarga di negeri ini.

Beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Onn Hafiz atas kepimpinan dan keprihatinan Menteri Besar Johor terhadap keperluan mahasiswa dari negeri ini.

“Inisiatif bantuan one-off ini membuktikan bahawa suara dan kebajikan anak muda Johor terus menjadi keutamaan kerajaan negeri dan akan sentiasa diperjuangkan.

“Kepada semua anak-anak Johor di Sabah, walaupun jauh di perantauan, ingatlah bahawa anda tetap dekat di hati kami. Kepimpinan negeri akan terus menyokong dan mendoakan kejayaan anda semua di bumi di bawah bayu ini,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast