KUALA LUMPUR – Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 (KOSSMA25) menegaskan keperluan memperkasa Silat Melayu bukan sekadar seni bela diri tetapi sebagai teras jati diri, adab dan falsafah hidup bangsa.
Konvensyen berlangsung di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia di sini itu menghimpunkan sarjana, pewaris muda dan pengamal Silat dari dalam dan luar negara.
Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata, silat adalah manifestasi ketamadunan Melayu yang meliputi sistem pemerintahan dan peradaban bangsa sejak zaman kesultanan.

“Silat perlu diperkasa dalam pendidikan dan diinstitusikan semula di sekolah, universiti serta masjid bagi membina generasi berdisiplin dan berjiwa bangsa.
“Silat bukan hanya warisan seni tetapi juga wadah mendidik nilai hormat, kesetiaan dan perpaduan masyarakat.” katanya
Beliau yang juga penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyeru kerajaan agar menjadikan silat sebagai sebahagian kurikulum kebudayaan nasional.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim menekankan bahawa silat perlu berlandaskan nilai Islam agar selaras dengan Maqasid Syariah.
Menurutnya, pengamal silat harus menghayati prinsip iman dan ihsan, menjadikan latihan sebagai ibadah serta cara membentuk keperibadian mulia.
Beliau turut mencadangkan penyediaan modul latihan dan manual rasmi bagi menggabungkan aspek fizikal dan spiritual Silat serta memperkenalkannya semula sebagai aktiviti komuniti di masjid.

“Langkah ini mampu melahirkan generasi muda yang sihat jasmani, rohani serta menghargai warisan bangsa.” ujarnya
KOSSMA25 turut menampilkan Seminar Seni Silat Melayu Antarabangsa, pameran persenjataan Melayu dan demonstrasi oleh lebih 20 perguruan dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Taiwan dan Singapura.
Semua pembentangan ilmiah konvensyen akan diterbitkan dalam prosiding rasmi sebagai rujukan akademik dan warisan dokumentasi kebudayaan. – MalaysiaGazette















