KUALA LUMPUR – Malaysia Hindhudharma Maamandram (MHM) mengecam sebuah syarikat pizza kerana mengeluarkan kotak yang menampilkan imej Dewa Murugan  yang merupakan dewa suci yang dihormati dalam agama Hindu

Presidennya, Rishikumar Vadivelu berkata, walaupun syarikat itu mungkin berniat untuk meraikan kepelbagaian budaya dalam Malaysia namun penampilan visual sedemikian sangat menyinggung komuniti Hindu kerana ia menggunakan imej dewa utama pada bahan pakai buang.

“Mengaitkan seorang dewa suci Hindu dengan pembungkusan makanan komersial, terutamanya yang mengandungi makanan bukan vegetarian dan termasuk daging lembu yang dianggap haram, sangat menyinggung ramai penganut Hindu.

“Ini juga merupakan pelanggaran langsung dan serius terhadap kesucian agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pembungkusan baharu syarikat pizza itu imej Dewa Murugan di samping ilustrasi kartun sedang menikmati pizza berlatar belakangkan mercu tanda Malaysia seperti KLCC, Menara Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad selain buah terkenal tempatan iaitu durian.

Tambahnya, kotak pizza yang akan dibuang selepas digunakan akan menimbulkan polemik kepada penganut agama Hindu serta boleh mengganggu keharmonian antara agama di negara ini.

“Penyertaan imej suci pada bahan yang akan dibuang sebagai sampah biasa tidak boleh diterima. Ia juga mencerminkan kurangnya rasa hormat terhadap amalan dan sensitiviti agama berjuta-juta penganut Hindu di Malaysia,” tegas beliau.

Dalam tuntutan rasmi, badan itu meminta syarikat tersebut untuk segera menarik balik kotak pizza berkenaan serta mengeluarkan permohonan maaf awam tanpa syarat.

Malah pihaknya turut menuntut supaya syarikat terbabit melakukan rundingan budaya dan agama yang kukuh bagi semua bahan pemasaran dan pembungkusan pada masa akan datang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast