SHAH ALAM – Seorang pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) menegur sikap segelintir perwakilan yang mengambil bahagian ketika perbahasan pada konvensyen parti berkenaan agar tidak meninggikan nada ketika berbahas sebaliknya mengeluarkan hujah yang mantap agar disokong oleh perwakilan lain.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, meskipun berlaku pertikaian berhubung sesuatu usul yang dibawa agar diberikan perhatian, namun ia perlu disampaikan mengikut kaedah yang wajar.
“Alhamdulillah, yang kita dengar perbahasan usul dan didahului dengan sedikit pertikaian tentang hal bagaimana satu-satu usul untuk diluluskan dan diberikan posisi dalam konvensyen ini.
“Saya kira sifatnya rencam perbahasan-perbahasan daripada perwakilan dari negeri-negeri dan sayap-sayap punya kelainannya punya nilainya yang tersendiri.
“…dan saya kerap mengingatkan adik-adik saya (perwakilan), khususnya barisan kepimpinan yang akan bakal memimpin dan mengemudi parti ini, supaya jangan perlu tinggikan suara anda kalau tidak diperlukan, tetapi tinggikanlah penghujahan anda yang akan sedia didengar oleh perwakilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional sempena Konvensyen Amanah di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia Dan Kebudayaan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Terdahulu hari ini, hari kedua Konvensyen Amanah bertukar tegang apabila beberapa perwakilan mendesak agar usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan dibahaskan segera.
Kurang sejam selepas sesi persidangan bermula, kira-kira tiga orang perwakilan tampil ke mikrofon untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap keputusan pimpinan yang tidak membenarkan usul tersebut dibincangkan.
Situasi tersebut telah memaksa pengerusi persidangan, Azhar Abdul Shukur mententeramkan keadaan dengan menyuruh mereka supaya kembali ke tempat duduk mereka, tetapi malangnya tidak diendahkan.
Namun, selepas desakan berterusan, Azhar akhirnya membenarkan dua perwakilan membentangkan cadangan masing-masing mengenai pemilihan parti.
Keadaan bagaimanapun kembali tegang apabila sesi tersebut bertukar menjadi pertengkaran.
Pertikaian itu menyaksikan dua pendirian berbeza apabila seorang perwakilan mencadangkan agar pemilihan parti ditangguhkan selepas tahun 2026, manakala seorang lagi mahu ia diteruskan seperti yang dijadualkan.
Susulan insiden tersebut, Azhar mengarahkan agar persidangan diteruskan dengan usul lain yang telah diterima untuk dibahaskan. – MalaysiaGazette
















