KUALA LUMPUR – Acara Warzone World Championship 2025 (WWC 2025) akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada 6-7 Disember ini, bertempat di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan.
Pengasas WWC, Yusuf Azmi berkata, jualan tiket juga kekal tersedia kepada peminat-peminat sukan tempur.
Bagaimanapun katanya, bagi mematuhi pekeliling baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang tidak membenarkan atlet di bawah 15 tahun untuk menyertai sukan tempur, kategori Junior telah dimansuhkan.
“Penganjur menzahirkan penghargaan kepada semua pihak media dan masyarakat atas perhatian yang diberikan terhadap acara tersebut serta memohon maaf secara terbuka berhubung kekeliruan dan salah faham yang timbul sejak kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN
Menurut Yusuf, kelemahan dalam komunikasi dan promosi awal telah menimbulkan persepsi negatif kepada WWC dan mereka mengambil tanggungjawab penuh serta melaksanakan langkah segera bagi memperbetulkan keadaan serta memastikan mesej sebenar acara ini di fahami dengan jelas.
Tambah beliau, bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang dan garis panduan sedia ada, pihak penganjur WWC juga telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk tujuan pendaftaran.
Proses permohonan berjalan lancar dan dijangka akan mendapat kelulusan dalam masa terdekat.
Selain itu katanya, siri perbincangan bersama agensi berkaitan dan pihak keselamatan tempatan turut diadakan bagi memastikan setiap aspek penganjuran berjalan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
Tambahnya, penganjur turut melaksanakan pelbagai langkah keselamatan termasuk pemeriksaan kesihatan wajib bagi peserta, kehadiran pasukan paramedik di lokasi, kawalan keselamatan di pintu masuk serta pelaksanaan Protokol Sukan Selamat (Safe Sport Protocol). – MalaysiaGazette
















