KUALA LUMPUR – Kalau benar peperiksaan melahirkan generasi ‘burung kakak tua’ maka Siji Pelajaran Malaysia (SPM) juga patut dimansuhkan, kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, kenyataan itu tidak munasabah memandangkan peperiksaan penting kerana ia memainkan banyak peranan dalam pembentukan diri dan masa depan seseorang.
“Peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diwujudkan untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar. Ia wajar dikembalikan kerana UPSR memainkan peranan untuk masa depan pelajar, jauh melebihi sekadar mengukur pengetahuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi turut menggariskan peri penting mengapa format peperiksaan utama di peringkat sekolah rendah wajar dihidupkan semula.
“Pertama, peperiksaan membantu pelajar menilai sejauh mana mereka memahami dan menguasai ilmu yang telah dipelajari dan ia juga membantu guru mengenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki atau ditekankan semula.
“Kedua, peperiksaan juga mencanai sifat disiplin dan tanggungjawab. Apabila wujud peperiksaan dengan sendirinya memerlukan perancangan, usaha gigih dan disiplin masa.
“Ini membentuk sikap bertanggungjawab dan tabah menghadapi tekanan. Ini antara nilai yang penting dalam kehidupan sebenar,” katanya.
Menurut beliau, UPSR untuk sekolah rendah adalah penting untuk proses penyaringan bagi kemasukan ke peringkat lebih tinggi termasuk Sekolah Berasrama Penuh (BSP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Vokasional dan lain-lain.
“Peperiksaan mendorong pelajar berusaha lebih keras, meningkatkan daya saing yang sihat dan semangat untuk berjaya.
“Proses menghadapi peperiksaan mendidik erti sabar, tawakal dan reda. Ia juga mengajar bahawa kejayaan memerlukan usaha berterusan dan tidak datang dengan mudah,” katanya.
Terdahulu, laporan akhbar yang memetik kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkenaan mengembalikan semula peperiksaan utama ke dalam sistem persekolahan selepas dimansuhkan hanya akan melahirkan generasi ‘burung kakak tua’.
Generasi yang dimaksudkan Mohd Azam itu ialah mereka yang cemerlang di atas kertas tetapi tidak mampu menggunakan ilmu untuk menyumbang.- MalaysiaGazette
















