Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada majlis perasmian Malaysian Wood Expo (MWE) 2025 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Industri kayu kekal sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dengan nilai eksport mencecah RM22.9 bilion pada tahun 2024.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, industri kayu memainkan satu peranan yang besar apabila ia menjadi produk eksport ketiga terbesar dalam sektor agri-komoditi selepas minyak sawit dan getah.

Tambah beliau, industri ini juga berperanan dalam pembangunan ekonomi tetapi ia juga usaha dalam mengekalkan keseimbangan antara aktiviti ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.

“Industri kayu ini merupakan satu eksport yang penting, pada tahun 2024 kita eksport hampir RM22.9 bilion.

“Dalam ucapan saya, kita sentiasa tekankan betapa pentingnya kita seimbangkan antara aktiviti ekonomi dengan alam sekitar,” katanya ketika di temu bual selepas majlis perasmian Malaysia Wood Expo (MWE) di Pusat Konvensyen, di sini hari ini.

Menurut Johari, Malaysia terus komited dalam mengekalkan lebih 50 peratus kawasan hutan negara sebagai hutan simpan kekal sejajar dengan perjanjian di Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992.

“Hutan simpan kekal kita kekalkan melebihi 50 peratus tetapi pada masa yang sama kita juga menggalakkan industri perabot dan kayu kerana sebahagian kawasan hutan diuruskan secara sustainable forest management, di mana aktiviti ekonomi dijalankan secara terkawal,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memklumkan bahawa setakat Oktober tahun ini, sebanyak 5.85 juta hektar hutan telah diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC).

Johari menegaskan bahawa pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan Malaysia terhadap pengurusan hutan secara bertanggungjawab.

Beliau turut berharap usaha tersebut dapat perkukuh keyakinan global dan memastikan industri kayu ini terus berkembang secara mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast