KUALA LUMPUR – Tempoh reman terhadap lelaki berusia 54 tahun yang didakwa merogol remaja perempuan berumur 13 tahun di Bandar Tasik Puteri, Rawang disambung lima hari lagi sehingga 13 November ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, perintah itu dibuat oleh mahkamah selepas tempoh reman suspek berakhir semalam.
“Kita telah mendapat sambungan reman lima hari lagi bermula hari ini dan suspek dijangka akan dituduh dalam minggu ini yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan berhubung kes rogol melibatkan pelajar Tingkat Satu sekitar jam 8.15 malam pada 2 November lalu.
Noor Ariffin dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati ibu mangsa memaklumkan anaknya dirogol oleh seorang lelaki dikenali yang juga penduduk kawasan kejiranan terbabit.
Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan telah direman selama seminggu bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















