KUALA LUMPUR – Hasil siasatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati mendapan pada permukaan jalan yang berlaku di Jalan Bonus, Masjid India di sini pada pagi tadi berlaku secara setempat yang menandakan terdapat gangguan pada kestabilan struktur turapan di kawasan berkenaan.
Menurut DBKL, kerja-kerja pembaikan permukaan jalan telah dilaksanakan serta disiapkan pada jam 6.00 petang.
“Sehubungan itu, Jalan Masjid India yang ditutup pagi tadi sebagai langkah keselamatan telah dibuka semula kepada laluan awam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, DBKL akan meneruskan pemantauan rapi serta melaksanakan pemeriksaan dan pengimbasan lanjut di lokasi dan kawasan sekitar.
Tambahnya, keselamatan orang awam merupakan keutamaan, dan menghargai kerjasama serta pematuhan arahan keselamatan sepanjang kerja pemulihan dijalankan. – Malaysiagazette















