Mohamed Khaled diberikan penerangan semasa melawat kelas selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani di SK Felda Lok Heng, Kota Tinggi, hari ini. -MalaysiaGazette

KOTA TINGGI – Peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak menjejaskan peluang UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana tindakan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu tiada kaitan dengan Barisan Nasional (BN).

“Saya percaya dalam pilihan raya, macam-macam kempen dan macam-macam akan dicakap, jadi kita bersedia bersaing dalam PRN Sabah.

“Kita tanding dan letak calon tiada kaitan dengan mana-mana parti, saya percaya kita ada pendirian masing-masing,” katanya mengulas sama ada tindakan Ewon itu akan mempengaruhi pengundi terhadap calon BN pada PRN Sabah nanti.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menyempurnakan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lok Heng di sini hari ini.

Ewon sebelum ini meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu hak 40 peratus hasil Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ewon dilaporkan berkata, beliau berpegang teguh kepada prinsip dan matlamat penubuhan partinya yang memperjuangkan pelaksanaan MA63 serta hak-hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Semalam pula BN Sabah mengumumkan 41 senarai calon mereka pada PRN Sabah ke-17, dengan dua daripada mereka merupakan doktor perubatan.

UPKO sebelum ini satu daripada komponen BN namun selepas BN kalah dalam pilihan raya umum pada 2018, parti berkenaan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, BN menggandingkan calon baharu dan lama dalam PRN itu bagi memberi peluang kepada mereka yang dilihat mampu membawa kemajuan lebih baik untuk negeri tersebut jika menang.

BN katanya, berhasrat membina semula Sabah selari dengan pembangunan dan kemajuan negara jika menang PRN nanti .

Jelas Mohamed Khaled, Sabah atau mana-mana negeri yang ingin dibangunkan dengan baik perlu mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan Pusat.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast