KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong penuh langkah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menubuhkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dan menambah baik Skim Insurans Pekerjaan (SIP).
Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, pelaksanaan menerusi pindaan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja dan Sistem Insurans Pekerjaan 2025 itu merupakan reformasi penting dalam memperkukuhkan perlindungan sosial negara dan melindungi pekerja termasuk kerja fleksibel, kontrak dan gig.
“Dalam era pasca pandemik, corak kerja semakin berubah dan perlindungan sosial perlu disesuaikan dengan realiti baharu.
“SKBBK memastikan pekerja tetap dilindungi walaupun kemalangan berlaku di luar waktu kerja, sementara EBM pula menggalakkan mobiliti tenaga kerja,” katanya menerusi kenyataan.
Abdul Rahman berkata, SKBBK dan SIP merupakan pelaburan jangka panjang terhadap kesejahteraan pekerja dan produktiviti negara.
“Kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan setiap peningkatan satu peratus dalam perlindungan sosial boleh meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja formal sebanyak 0.5 peratus.
“Perlindungan yang kukuh bukan sahaja memberi ketenangan kepada pekerja, tetapi juga mengurangkan tekanan sosial dan ekonomi akibat kehilangan pendapatan serta kecederaan pekerjaan,” katanya lagi.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar penyertaan tenaga kerja pada suku keempat 2024 mencapai 70.6 peratus, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus.
Jelasnya, ia menunjukkan ekonomi yang stabil dan pasaran buruh yang aktif.
“Namun bagi memastikan peluang pekerjaan tersebar secara saksama di seluruh wilayah, dasar yang memudahkan mobiliti pekerja seperti EBM amat penting.
“Langkah ini juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan kadar pengambilan semula kerja dan memperkukuh pasaran tenaga kerja formal,” tambahnya.
Abdul Rahman menganggap Malaysia sedang melangkah ke arah masa depan pekerjaan yang lebih adil, mampan dan berperikemanusiaan melalui dasar proaktif yang berpaksikan insan tersebut. – MalaysiaGazette
















