GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran bunga ganja dengan rampasan bernilai RM8.88 juta dalam dua serbuan di Bukit Mertajam, dekat sini, minggu lalu.
Serbuan yang dijalankan bermula jam 10 malam pada 4 November hingga 6 petang keesokan harinya itu membawa kepada penahanan lapan individu berusia antara 20 hingga 37 tahun yang terdiri daripada enam lelaki tempatan, seorang lelaki warga United Kingdom (UK) dan seorang wanita warga Thailand.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, enam suspek ditahan dalam serbuan pertama di sebuah inap desa di Perda dekat sini, yang dijadikan tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah terbabit.
Jelasnya, serbuan susulan membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dan isterinya warga Thailand yang disyaki dalang utama sindiket berkenaan.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan membawa kepada penemuan 17 bagasi mengandungi 281 bungkusan dadah disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 247.7 kilogram bernilai RM8.67 juta.
“Siasatan lanjut mendapati aktiviti pengedaran dadah itu bermula sekitar pertengahan Oktober lalu, manakala jumlah rampasan boleh digunakan sehingga 500,000 kali oleh penagih.
“Dalam serbuan tersebut kita turut menyita dua kenderaan sebuah Honda Civic dan Toyota Estima bernilai keseluruhan RM210,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Tambah Azizee, rampasan tersebut merupakan rampasan dadah terbesar Pulau Pinang bagi tahun ini.
Mengulas lanjut Azizee berkata, hasil siasatan mendapati sindiket membawa masuk bekalan ganja itu dari Thailand ke negara ini menggunakan laluan darat dari Pantai Timur.

Tegas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan Pulau Pinang dijadikan sebagai lokasi transit dadah tersebut untuk penghantaran ke pasaran luar negara.
“Selain pasangan suami isteri terserbut, baki ahli lain yang bekerja sebagai penghantar makanan, beach boy serta pembantu kedai makan itu bertindak sebagai transporter dari Thailand ke Malaysia dengan bayaran antara RM9,000 hingga RM15,000 bagi setiap penghantaran,
“Siasatan kita juga mendapati ini merupakan kali pertama mereka membawa masuk bekalan bunga ganja itu malah mereka juga meletakkan label perisa pada bungkusan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 11 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















