KUALA LUMPUR – Datuk Ewon Benedick mengesahkan beliau secara rasminya telah mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu, akan mula menghabiskan baki cutinya sebagai menteri bermula hari ini.
Dua hari lalu, spekulasi mengenai kedudukan Ewon dalam Kabinet terjawab selepas beliau mengesahkan akan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.
Peletakkan jawatan itu dipercayai berkait rapat dengan pegangannya kepada prinsip di dalam Perlembagaan UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ia merujuk penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid ke atas semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.
Beliau berkata, pendirian dan pandangan dinyatakan Jabatan Peguam Negara (AGC) seperti mana dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia seperti mana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas Perlembagaan.
“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut. AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka.
“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” katanya. – MalaysiaGazette















