KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tiada rancangan untuk membawa petani berpengalaman dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak bagi mengusahakan ladang dan sawah baharu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia kerana golongan petani di Sabah dan Sarawak itu masih mempunyai keupayaan untuk menguruskan pertanian masing-masing.
“Membawa petani yang berpengalaman ke Sarawak dan Sabah itu belum kita bincangkan sebab setakat ini rakyat Sabah dan Sarawak mampu mengendalikan pembesaran atau mengusahakan sawah-sawah baharu yang dibuat di sana.
“Jadi belum ada rancangan untuk membawa pesawah dari Semenanjung untuk membuat ladang-ladang dan sawah di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Aminolhuda Hassan (Sri Gading-PH) dalam soalan tambahan bertanyakan Mohamad mengenai sejauh mana kerajaan akan membawa petani-petani yang berpengalaman dari Kedah, KADA dan MADA untuk membantu pembangunan di Sarawak. – MalaysiaGazette
















