Bot nelayan tempatan langgar syarat lesen ditahan.

BAYAN LEPAS – Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas dikesan beroperasi di bawah jarak dibenarkan dari pantai berhampiran perairan timur Limbungan Batu Maung di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tindakan itu susulan beberapa aduan awam mengenai kegiatan nelayan yang dipercayai menangkap ikan di kawasan larangan.

“Hasil rondaan dan pemeriksaan visual mendapati bot nelayan kelas C berkenaan beroperasi kurang daripada 15 batu nautika dari pantai sekali gus melanggar syarat lesen yang dikeluarkan kepada kategori tersebut.

Tiga kru nelayan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendalikan tiga kru warga tempatan termasuk seorang tekong berusia antara 49 hingga 65 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Suffi, semua kru dan bot terbabit ditahan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen bot nelayan tempatan kelas C.

“Kita juga akan terus memperhebat pemantauan dan rondaan di perairan negeri bagi memastikan semua aktiviti perikanan mematuhi undang-undang serta lesen yang sah bagi menjaga kelestarian sumber marin negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast