KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan menerima semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah lebih RM1 bilion baru-baru ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan masih meneruskan proses untuk mendapatkan semula dana 1MDB yang diseleweng dari beberapa negara.
“1MDB pada peringkat akhir masih ada kemasukan baru-baru ini, saya tidak dapat teka berapa jumlahnya tetapi mencecah lebih RM1 bilion tambahan dari dulu.
“Proses ini masih diteruskan di Switzerland dan London. Ada jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan untuk mengendali,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi menerusi soalan tambahan meminta penjelasan mengenai jumlah dana 1MDB sudah dikembalikan ke dalam negara.
Anwar berkata, selain 1MDB, kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan semula dana-dana Malaysia yang diseleweng melibatkan pelbagai jenayah komersial.
“Selain 1MDB, ada jenayah telekomunikasi, e-kewangan, e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, penipuan cinta, semua masuk kategori itu termasuk penyeludupan dan juga sindiket,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















