Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar bercakap pada sidang media berkenaan Tangkapan Rampasan OP Kontraban oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JDKNKA) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 NOVEMBER 2025.

SHAH ALAM – Pengasas program eHATI antara dua individu yang dikenakan waran tangkap selepas mereka gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding pertuduhan baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua individu terbabit sepatutnya hadir bagi menghadapi pertuduhan yang dijadualkan sebelum ini namun tidak berbuat demikian.

“Kita telah mengeluarkan dua waran tangkap terhadap dua individu termasuk pengasas eHATI kerana gagal hadir semasa pertuduhan hendak dijalankan di mahkamah.

“Pihak polis juga sedang berusaha mengesan kedua-duanya namun dimana mereka berada saya tidak boleh dedahkan bagi kerana usaha mengesan sedang giat dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Difahamkan, pengasas eHATI bersama seorang lagi individu itu sepatutnya didakwa pada 14 Oktober lalu bersama pasangan suami isteri yang juga merupakan doktor dalam bidang kesihatan dan kecantikan.

Sebelum ini, seramai 95 individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15, Shah Alam, pada September tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast