Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, (kiri) ketika sidang media selepas Program Bicara Figura RISDA, di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Elaun Sara Hidup (ESH) sebanyak RM900 sebulan kepada penjawat awam yang menerima penajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) secara separa biasiswa bagi pengajian di peringkat ijazah lanjutan secara separuh masa, berkuat kuasa Januari 2026.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, keputusan itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026, yang bertujuan memperkukuh motivasi serta kebajikan penjawat awam yang menyambung pengajian.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan kebajikan penjawat awam diberi perhatian sewajarnya, termasuk mereka yang berkorban masa dan tenaga untuk meningkatkan kelayakan akademik demi menyumbang kepada perkhidmatan negara,” katanya dalam kenyataan melalui Surat Edaran Pembayaran Elaun Sara Hidup, hari ini.

Menurut beliau, ESH layak diberikan kepada dua kategori utama iaitu penerima penajaan sebelum tahun 2026 yang masih dalam tempoh tajaan pada 1 Januari tahun hadapan yang mana elaun akan dibayar bagi baki tempoh penajaan sahaja, serta penerima baharu yang diluluskan mulai 1 Januari dibayar bermula dari tarikh tajaan diluluskan.

“Bagi mereka yang telah selesai tempoh penajaan sebelum 1 Januari 2026, pembayaran ESH tidak terpakai kerana kemudahan ini melibatkan penajaan aktif dalam tempoh kuat kuasa pelaksanaan dasar baharu,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ESH tidak layak disalurkan kepada penerima penajaan yang telah tamat tempoh biasiswa sebelum 1 Januari tahun hadapan.

Beliau memaklumkan bagi kementerian yang telah diberikan penurunan kuasa pengurusan biasiswa dalam perkhidmatan, pembayaran elaun kepada pegawai yang layak hendaklah menggunakan peruntukan kementerian masing-masing.

“Kementerian dan jabatan yang terlibat juga perlu memasukkan keperluan pembayaran ESH ini dalam perancangan perbelanjaan program latihan dalam perkhidmatan bagi tahun 2026 dan seterusnya, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Dahlan, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan di bawah gagasan Malaysia Madani dalam memperkasakan bakat perkhidmatan awam dan memastikan ekosistem pembelajaran berterusan dapat disokong secara menyeluruh.

“Langkah ini bukan sekadar insentif kewangan, tetapi juga mesej jelas kerajaan bahawa pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan penjawat awam adalah agenda nasional yang mesti diperkasakan,” ujarnya.

Maklumat lanjut berhubung kaedah pelaksanaan dan garis panduan penuh boleh dirujuk melalui portal rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast