Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

TEMERLOH – Polis memberkas empat lelaki disyaki terbabit dalam beberapa kes pecah masuk kedai, bengkel, stor dan kilang di sekitar Temerloh dan Mentakab dalam dua serbuan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, semua suspek berusia antara 18 hingga 39 tahun ditahan antara jam 10.30 malam hingga 12 tengah malam pada 6 November lalu berdasarkan hasil risikan dan maklumat awam.

“Tangkapan dibuat selepas seorang pemilik bengkel radiator di Simpang Songsang, Temerloh, mendapati premisnya dipecah masuk kira-kira jam 8.15 pagi hari sama.

“Pemeriksaan mendapati pintu belakang bengkel diumpil dan mangga dipotong. Sebanyak 150 tangki radiator serta 200 penutup radiator tembaga pelbagai jenis dilaporkan hilang dengan anggaran kerugian kira-kira RM60,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku lewat malam atau awal pagi dan suspek dipercayai menggunakan lori untuk mengangkut barangan curi itu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah lori Daihatsu merah yang digunakan dalam aktiviti jenayah berkenaan.

“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada rampasan tangki radiator di dua premis barangan lusuh di Mentakab dan Triang, selain beberapa bateri kenderaan di sebuah rumah di Temerloh,” katanya.

Mohd Nasyim berkata, hasil pendedahan keempat-empat suspek membolehkan polis menyelesaikan tujuh kes pecah kedai, stor dan kilang yang dilaporkan di sekitar kawasan industri Mentakab dan Temerloh sejak awal Oktober hingga awal November lalu.

Kesemua suspek direman hingga 13 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast