KUALA LUMPUR – Nilai integriti dan inovasi mesti menjadi teras budaya kerja di Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi memastikan kekuatan organisasi pertahanan negara kekal utuh dan dihormati.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, kedua-dua nilai tersebut bukan sekadar slogan tetapi asas kepada kecekapan, kepercayaan serta keberkesanan setiap anggota dan pegawai di bawah kementerian itu.
“Kita bukan hanya mengurus perolehan dan projek bernilai berbilion ringgit tetapi kita menguruskan keselamatan, kedaulatan serta kebajikan para perwira negara.
“Amanah ini amat besar dan mesti dijaga dengan integriti yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan 2025 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, penggabungan sambutan Hari Integriti dan Hari Inovasi tahun ini membawa makna simbolik kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk organisasi yang berdisiplin, tangkas dan berdaya saing.
“Integriti membina kepercayaan dan menjadi benteng daripada penyelewengan. Inovasi pula adalah enjin kemajuan yang memastikan organisasi terus relevan serta berupaya mendepani cabaran masa depan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, integriti merupakan roh kepada gagasan Malaysia MADANI, kerana daripadanya lahir nilai keyakinan, ihsan dan hormat yang menjadi asas kepada keutuhan sistem pertahanan negara.
“Apabila ada hormat, maka tiadalah ruang untuk khianat dan nama baik Mindef akan terus terpelihara,” ujarnya lagi.
Menurutnya, sepanjang tahun ini pelbagai program advokasi dan pendidikan integriti telah dilaksanakan oleh Mindef dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyemai nilai amanah dan ketelusan dalam kalangan warga pertahanan.
“Kita tidak hanya mahu menghapuskan rasuah tetapi mahu membina jiwa amanah dalam setiap warga kerja agar keputusan dan tindakan mereka sentiasa berpaksikan tanggungjawab,” katanya.
Menyentuh mengenai inovasi, Mohamed Khaled memuji pencapaian cemerlang warga Mindef yang berjaya membawa nama negara ke persada antarabangsa apabila meraih enam pingat emas, tiga perak dan dua gangsa dalam pertandingan inovasi di Korea Selatan dan Indonesia.
Beliau turut mengumumkan buat pertama kali dalam sejarah kementerian itu, sebanyak 10 permohonan paten telah dikemukakan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi melindungi hasil ciptaan dan rekaan warga Kementerian ini.
“Inovasi yang kita bangunkan bukan hanya menyerlah di pameran dunia tetapi telah menjimatkan jutaan ringgit kos kerajaan dan meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara,” katanya.
Khaled turut menyatakan kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global 2024 meningkat ke tangga ke-33 daripada ke-36 sebelum ini, bukti negara sedang berada di landasan yang betul dalam memperkukuh keupayaan inovatif.
“Kejayaan ini bukan sekadar angka tetapi hasil kerja keras dan pemikiran kreatif seluruh warga pertahanan,” ujarnya.
Beliau menyeru semua pegawai dan anggota untuk terus menjadi mata dan telinga pertahanan bukan sahaja dalam konteks keselamatan tetapi juga dalam menjaga nilai integriti di tempat kerja.
“Gabungkan integriti sebagai asas dan inovasi sebagai sayap kemajuan. Dengan itu, Mindef akan terus menjadi kementerian yang kuat, dihormati dan diyakini rakyat,” katanya. -MalaysiaGazette
















