KUANTAN – Hasil siasatan polis berhubung insiden penemuan mayat wanita di bawah pelepah sawit di Telemong, Bentong pada minggu lalu mengesahkan ia mayat warga Indonesia yang telah mereput selepas dibunuh hampir dua minggu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, seorang lelaki telah direman selepas pihaknya menahan tiga suspek bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
“Ketiga-tiga lelaki warga asing itu telah ditahan dan permohonan reman selama seminggu bermula hari ini dibuat terhadap salah seorang supsek.
“Mangsa berusia 41 tahun bukan tinggal di Telemong sebaliknya berasal dari Sentul, Kuala Lumpur.
“Mangsa dikatakan datang ke kawasan ladang sebelum berjumpa suspek, lalu berlaku pertikaian dan mangsa dibunuh,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang hari ini.
Hasil soal siasat mendapat salah seorang suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu manakala siasatan awal mendapati suspek menggunakan objek tumpul untuk membunuh mangsa.
Yahaya berkata, siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihak polis.
Terdahulu pada 3 November lalu, polis mengesahkan penemuan mayat wanita dalam keadaan reput di Ladang Kelapa Sawit, Batu 19, Jalan Karak–Kuala Pilah, Telemong telah ditemukan di bawah longgokan pelepah daun kelapa sawit.
Ia susulan polis menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam lebih kurang 5 petang yang memaklumkan penemuan mayat tersebut. – MalaysiaGazette
















