JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan membentangkan Belanjawan Johor 2026 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar pada pukul 9.30 pagi Khamis ini.

Belanjawan negeri yang bertemakan Bangsa Johor Sejahtera memberi tumpuan Agenda Maju Johor 2030 melalui enam teras utama yang memacu kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Belanjawan kali ini memberi penekanan menyeluruh terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor.

“Selain merancakkan pertumbuhan ekonomi yang mapan serta memperkukuh pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur strategik, pelbagai insentif baharu turut diperkenalkan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat,” kata Onn Hafiz dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pembentangan itu bukan sekadar sebuah belanjawan, tetapi mencerminkan perancangan dan pelaksanaan inisiatif yang menyeluruh sebagai manifestasi kerajaan negeri untuk membina masa depan Johor yang lebih inklusif, progresif dan berdaya tahan.

Beliau berkata, pembentangan belanjawan itu juga boleh ditonton secara langsung menerusi Facebook miliknya.

“Bersama kita terus melangkah, memperkasa Johor menuju negeri maju, makmur dan sejahtera. Insya-Allah, tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast