Mohamed Mohsin ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden Presma di Avenue M Hotel, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pekerja restoran mamak sentiasa dididik agar mesra pelanggan dan bijak berdepan sebarang situasi bagi mengelak kejadian tular pekerja cafe disimbah kopi oleh pelanggan seperti yang berlaku di Kuala Lumpur.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak berkata, setakat ini ahlinya yang juga pengusaha restoran tidak pernah berdepan sebarang masalah membabitkan pekerja ketika berurusan dengan pelanggan.

Menurutnya, biarpun sesetengah pekerja yang juga warga asing dan tidak fasih berbahasa Melayu namun mereka sentiasa bersikap baik ketika bekerja bagi memastikan pelanggan selesa ketika mengunjungi restoran.

“Malaysia ni, memang syurga makanan. Kita bawa nama kepada seluruh dunia. Kita mahu maklum balas pelanggan termasuk pelancong asing menyatakan perkhidmatan yang baik.

“Oleh itu pekerja di restoran dididik supaya mesra pelanggan, senyum dan mengutamakan pelanggan,” katanya mengulas isu tersebut yang tular dalam media sosial.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Mohamed Mohsin Abdul Razak di Avenue M Hotel, di sini, hari ini.

Presma kini mempunyai lebih 3,000 ahli berdaftar dengan anggaran lebih 12,000 restoran di seluruh negara.

Kelmarin, tular video dirakam seorang pelanggan dipercayai bukan warganegara Malaysia yang tidak berpuas hati dengan pesanan dibuat di sebuah cawangan jenama kopi terkenal.

Dalam video berkenaan, wanita itu mengeluarkan kata-kata dalam bahasa asing dan melempar secawan kopi kepada kru kedai kopi itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Mosin berkata, semua pekerja restoran mamak digalakkan bersikap sederhana, sentiasa berhati-hati semasa berdepan karenah pelanggan.

Tambahnya, mereka juga diminta menyalurkan maklumat kepada majikan sekiranya terdapat sebarang permasalahan berkaitan pelanggan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast