Foto: media sosial

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Pangsapuri Suria Ixora, Setia Alam selepas video kejadian itu tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Pemangku Senior Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 9 malam.

Pihaknya dimaklumkan empat lelaki dipercayai berasal dari Sabah sedang bergaduh di kawasan parkir pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, tindakan pantas pasukan polis pada pukul 9.15 malam berjaya menahan kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 28 tahun di lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada hutang tatu berjumlah RM120 yang tidak dibayar oleh salah seorang suspek.

“Hasil pemeriksaan berjaya merampas satu laras senapang ikan beserta busur, sebatang kuku kambing, sebatang ekzos motosikal serta sebuah kereta Perodua Axia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pergaduhan ini juga menyebabkan kerosakan pada kenderaan di lokasi kejadian” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Menurutnya, suspek boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun serta sebatan jika disabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Vemal di talian 011-3921 6101 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast