SHAH ALAM – Taktik licik sindiket penipuan telefon atas talian love scam yang menyasarkan warga Jepun terbongkar selepas polis menyerbu sebuah unit rumah di kawasan Semenyih, Kajang pada 5 November lalu.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dengan bantuan pakar analisa media sosial dari Bahagian Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sindiket itu didalangi warga asing yang dipercayai menyamar sebagai pegawai organisasi atau individu berpengaruh untuk menyakinkan mangsa bagi pemindahan wang.
Susulan itu katanya, dalam serbuan itu polis telah menahan seramai 13 individu warga asing melibatkan 11 lelaki dan dua perempuan.
“Semakan mendapati sindiket ini telah beroperasi kira-kira tiga bulan di mana setiap ahli sindiket diarah untuk membuat posting harian di media sosial bagi menunjukkan akaun itu aktif dan tulen.
“Setelah berjaya menarik perhatian mangsa, sindiket mula berkomunikasi dengan mangsa menghantar mesej kepada mereka untuk mendapatkan nombor telefon, akaun media sosial iaitu LINE, Instagram dan lain-lain.
“Ahli sindiket juga diberi tugasan untuk membuat posting, berkenalan dan memperdaya mangsa menerusi komunikasi online manakala bahagian kewangan diuruskan oleh ahli yang lain,” katanyadalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Tambah Shazeli, pemeriksaan mendapati mereka akan berkomunikasi dengan mangsa menggunakan Bahasa Inggeris dan Jepun yang telah dilatih berserta skrip yang disediakan.
“Selain itu, semakan mendapati sindiket ini menggunakan platform Telegram dan Signal sebagai medium komunikasi dalama antara ahli sindiket dan ia dijalankan dengan menggunakan rangkaian internet TM,” ujarnya.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan melibatkan 11 komputer riba serta 11 telefon bimbit pelbagai jenis yang digunakan dalam operasi sindiket terbabit.
Kemua suspek masih direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.
Shazeli berkata, orang ramai turut diingatkan tidak berkongsi maklumat peribadi, gambar atau butiran akaun bank kepada individu tidak dikenali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan sindiket calling centre Love Scam ini diminta menghubungi Hotline IPD Kajang di talian 03-89114242 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Alif Ashraf Mohd Sohor bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















