KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang (DAP), V. Ganabatirau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menambah baik infrastruktur pendidikan terutama di Klang yang kini berdepan masalah kepadatan pelajar dan kekurangan kemudahan asas.
Beliau berkata, keadaan sekolah sedia ada di beberapa kawasan seperti Klang Utama, Bandar Bukit Raja, Bandar Botanik serta beberapa tidak lagi mampu menampung jumlah murid yang semakin meningkat.
“Ramai ibu bapa dan guru meluahkan kebimbangan bahawa bangunan sekolah tidak lagi mencukupi. Saya telah berkali-kali mengusulkan perkara ini dan memerlukan sekolah baharu di kawasan berkenaan.
“Saya berharap kementerian dapat melihat isu ini secara serius,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 bagi KPM di Dewan Rakyat hari ini.
Ganabatirau turut mempersoalkan jumlah sebenar perbelanjaan bagi pembangunan infrastruktur sekolah di Klang dalam beberapa tahun lalu serta sama ada terdapat peruntukan khusus dalam Belanjawan 2026 untuk menaik taraf atau membina sekolah baharu.
Beliau berkata, berdasarkan dokumen Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2026, KPM menerima peruntukan sebanyak RM66.2 bilion dengan RM41.46 juta diperuntukkan untuk aktiviti pembangunan infrastruktur pendidikan.
“Saya mohon agar sebahagian daripada peruntukan ini disalurkan kepada sekolah-sekolah di Klang yang berdepan masalah kepadatan pelajar, bangunan uzur serta kekurangan bilik darjah dan kemudahan asas,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ganabatirau menekankan keperluan kerajaan menetapkan peruntukan tetap dan telus bagi semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan Sekolah Agama bagi memastikan agihan dana yang adil.
“Ramai pentadbir sekolah Tamil terpaksa mencari jalan sendiri untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan. Dengan peruntukan tetap, mereka dapat merancang dengan lebih berkesan tanpa perlu bersaing untuk dana,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas usaha membina semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jeram di Pahang, namun menegaskan masih banyak projek pembinaan sekolah Tamil yang tertangguh seperti SJK(T) Sungai Bakap dan SJK(T) Serendah.
“Saya ingin menegaskan masih banyak sekolah Tamil di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian segera,” katanya.
Beliau juga membangkitkan janji kerajaan yang diumumkan pada 2023 untuk memperkenalkan pengajaran Bahasa Ibunda di sekolah menengah sekiranya terdapat sekurang-kurangnya 10 murid, namun sehingga kini pelaksanaan tersebut belum bermula.
“Saya harap kali ini kementerian dapat memberikan jawapan yang lebih baik kerana setiap tahun saya bangkitkan perkara yang sama,” katanya.
Ganabatirau turut menegaskan bahawa peruntukan khas bagi sekolah Tamil perlu dinyatakan secara jelas dalam Bajet 2026 agar penggunaan dana dapat dipantau dengan lebih telus. -MalaysiaGazette















