Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan beliau menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat tiga hari selepas beliau diumumkan sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk dan hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum hari penamaan calon berlangsung, Sabtu ini.

Jelas Rahman, beliau mahu memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili UMNO di DUN Tempasuk.

Tambahnya, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya telah bertanding tiga kali di parlimen Kota Belud (2013, 2018 dan 2022). Dua kali menang dan sekali kalah. Dalam ketiga-tiga pertandingan itu, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun kalah di kerusi parlimen.

“Saya percaya anak tempatan dari UMNO Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menambah, beliau akan terus membantu parti tersebut melalui kapasiti lain.

Terdahulu, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu, Rahman telah menarik diri daripada bertanding pada PRN Sabah.

Susulan itu, tempatnya sebagai calon BN di DUN Tempasuk akan digantikan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast