ISKANDAR PUTERI – Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menerima Anugerah Perdana Menteri dan Anugerah Emas Sektor Awam baru-baru ini.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim berkata, anugerah itu menjadikan Johor terus menjadi negeri contoh dalam pelaksanaan tadbir urus yang berintegriti.
Beliau berkata, pengiktirafan berkenaan menjadi pemangkin kepada perkhidmatan awam untuk terus menegakkan prinsip akauntabiliti dan integriti.
“Anugerah seumpama ini bukan sekadar simbolik kepada komitmen penerima, tetapi diharap menjadi motivasi kepada agensi lain di Johor untuk mencontohi pencapaian mereka dalam memerangi rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) peringkat negeri.
Bertemakan Integriti Teras Kesejahteraan Negara, program dianjurkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor dengan kerjasama Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor itu menghimpunkan kira-kira 250 ketua jabatan dan penjawat awam.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) serta penganugerahan sijil kepada enam Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Tahun 2025, yang dilihat sebagai langkah konkrit memperkukuh pengurusan integriti di peringkat jabatan dan agensi negeri.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat), Norliyati Md Nor berkata, usaha memperkasa integriti penjawat awam amat penting bagi memastikan kecekapan tadbir urus dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Johor sentiasa komited dan serius membantu agensi seperti SPRM untuk memastikan isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berjaya dihapuskan di negeri ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















