Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Naim Mokhtar beramah mesra bersama peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Kelas Fardu Ain Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak, di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi antara negara yang diberi keutamaan sekiranya kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk menambah kuota haji pada musim akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi pertemuannya bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah.

“Sewaktu menyampaikan hasrat Malaysia untuk mendapatkan kuota tambaha jemaah haji, beliau memaklumkan kepada saya bahawa perkara itu akan dibawa ke jawatankuasa khas Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk dibincangkan.

“Pada masa sama, beliau berkata untuk menentukan sama ada kuota tambahan boleh diberikan atau tidak, mereka akan melihat daripada sudut keselamatan jemaah haji,” katanya.

Menteri Hal Ehwal
Agama, Datuk Mohd Naim Mokhtar berucap pada Majlis Perasmian Kelas Fardu Ain Orang Kurang Upaya (OKU)
Pekak, di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 NOVEMBER 2025

Beliau berkata demikian selepas Majls Perasmian Kelas Bimbingan Fardhu Ain (KAFA) Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak 2025 di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Mohd Na’im menambah, kerajaan Arab Saudi memaklumkan mereka tidak mahu jumlah jemaah haji terlalu ramai kerana akan menimbulkan risiko keselamatan terutama sewaktu musim panas yang boleh menyebabkan peningkatan kes kematian.

“Bagaimanapun, beliau ada menyebut sekiranya jawatankuasa dan kementerian membuat keputusan untuk memberikan kuota tambahan, Malaysia akan diberikan keutamaan.

“Sebabnya… pengurusan haji Malaysia diiktiraf antara yang terbaik di dunia, manakala jemaah kita pula sangat berdisiplin dan teratur,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im menyambut baik langkah kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat kesihatan baharu bagi jemaah haji dua minggu lalu yang disifatkan selaras dengan usaha memastikan keselamatan jemaah di seluruh dunia.

“Langkah tersebut bertujuan memastikan semua jemaah datang dalam keadaan sihat dan selesa supaya dapat menunaikan haji dengan sempurna serta memperoleh haji mabrur.

“Malaysia akan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan kerana kita tahu ia bukan untuk menyusahkan jemaah, sebaliknya bagi menjamin keselamatan mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast