ALOR SETAR – Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah Malaysia (PAKU) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan perlindungan pelajar termasuk memperkenalkan mekanisme pelaporan kes gangguan atau amang seksual yang lebih mesra mangsa, sulit dan efisien.
Pengerusi PAKU, Amirul Syahir Musa berkata, kementerian juga harus melaksanakan program kesedaran, latihan dan pendidikan pencegahan amang seksual secara berterusan kepada guru, pelajar dan warga sekolah.
Jelasnya, pihak sekolah juga perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda awal penderaan serta diberikan panduan jelas tentang cara bertindak apabila menerima aduan daripada pelajar.
“Kita memandang serius laporan kes amang seksual yang berlaku di sebuah sekolah melibatkan guru dan pelajar. Insiden yang menjijikkan ini bukan sahaja mencemar imej institusi pendidikan, tetapi turut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan pelajar di sekolah-sekolah seluruh negara.
“Justeru usaha membentuk budaya hormat, amanah dan tanggungjawab sosial perlu digerakkan dari peringkat awal agar nilai moral dan akhlak terpuji menjadi asas dalam komuniti sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Amirul Syahir turut menyeru pihak PPD supaya tidak menyembunyikan kes amang seksual yang berlaku termasuk antara guru dan pelajar.
Katanya, kejadian seperti itu membuktikan masih terdapat kelemahan dalam aspek pengawasan, pengurusan aduan dan pelaksanaan prosedur perlindungan pelajar di peringkat sekolah.
“Banyak kes yang disembunyikan tanpa pengetahuan JPN Negeri. Guru yang membawa laporan juga turut ditukarkan ke sekolah lain kerana membawa aduan berkenaan kes amang seksual ini ke PPD.
“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sepatutnya guru yang membawa aduan harus dilindungi dan diberikan penghargaan bukan ditukarkan tanpa alasan yang kukuh,” katanya.
Tambah beliau, KPM perlu mengambil tindakan tegas dan menyeluruh dalam membela nasib mangsa serta memastikan keadilan ditegakkan.
“KPM perlu memastikan siasatan dijalankan secara telus dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat, tanpa sebarang kompromi.
“Kementerian perlu bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan pemulihan menyeluruh terhadap mangsa dapat dijalankan dengan penuh empati dan profesionalisme.
“Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menimba ilmu, membina jati diri dan mengembangkan potensi masa depan mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang guru sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas tiga tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 13 tahun tahun lalu. – MalaysiaGazette
















