JOHOR BAHRU – Pemilik syarikat kutipan bahan buangan pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM2,000 kepada anggota penguat kuasa, pada 2023.
Wong Teck Siong, 49, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan wang tunai RM2,000 kepada seorang penjawat awam yang bertugas sebagai Pembantu Penguatkuasa Gred KP19 di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Perbuatan itu sebagai dorongan supaya anggota berkenaan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadapnya yang membuang sampah dan sisa industri di tempat yang tidak dikhaskan yang melanggar kesalahan di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di tempat pelupusan sampah haram di Taman Nusa Duta di sini pukul 5.45 petang, pada 2 November 2023.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi satu pertuduhan pilihan atas perbuatan yang sama yang dituduh mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga satu perempat daripada tempoh pemenjaraan yang paling tinggi diperuntukkan bagi kesalahan itu, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling memberitahu mahkamah pertuduhan dihadapi tertuduh adalah tidak boleh dijamin dan pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin.
Namun, peguam Lim Seay Sean yang mewakili tertuduh memohon satu jaminan dikenakan dengan jumlah yang rendah atas alasan anak guamnya adalah bapa tunggal yang menanggung seorang anak perempuan berusia 20 tahun.
“Pendapatan tertuduh tidak menentu sekitar RM4,000 sebulan. Dia mempunyai komitmen bulanan yang tinggi seperti pinjaman perumahan, kereta, insurans dan yuran pengajian anak.
“Tertuduh menghidap kanser hidung dan masih menjalani rawatan susulan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta dua syarat tambahan iaitu lapor diri di pejabat SPRM Johor sebulan sekali dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 21 November ini.- MalaysiaGazette
















