ISTANBUL – Sebuah pesawat kargo tentera milik Turkiye yang membawa 20 penumpang dan kru terhempas di Georgia ketika dalam perjalanan pulang dari Azerbaijan, menurut Kementerian pertahanan.
“Pesawat kargo tentera C-130 kami yang berlepas dari Azerbaijan untuk pulang telah terhempas di sempadan Georgia-Azerbaijan,” kata kementerian itu menerusi kenyataan yang mengesahkan terdapat 20 kakitangan dalam pesawat, termasuk anak kapal.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan, tambahnya.
Rakaman video yang tersebar di media Azerbaijan memaparkan pesawat tersebut berpusing secara mendatar sebelum terhempas, menyebabkan kepulan asap hitam naik ke udara selepas nahas.
Rakaman yang dikatakan dilakukan di lokasi kejadian memaparkan serpihan terbakar bewarna hitam ketika orang awam melihat insiden itu di kawasan lapang.
Kementerian Pertahanan Turkiye meminta media tidak menyiarkan gambar nahas.
Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, Turkiye sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Georgia ‘untuk mengakses serpihan’, dan melahirkan rasa dukacita terhadap mereka yang gugur, menurut agensi berita negara itu, Anadolu.
Dalam hantaran di platform X, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev menyampaikan ucapan takziah kepada pemimpin Turkiye itu.
Menteri Luar, Hakan Fidan menghubungi rakan sejawatnya di Georgia, Maka Bochorishvili menegnai operasi mencari dan menyelamat, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menteri Luar Georgia mengesahkan bahawa pesawat itu terhempas di kawasan Sighnaghi, kira-kira lima kilometer dari sempadan Georgia-Azrbaijan.
Perkhidmatan pengawal trafik udara Georgia, Sakaeronavigatsia berkata, pesawat tersebut hilang dari radar sebaik sahaja memasuki ruang udara Georgia dan ia telah dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut oleh perkhidmatan kecemasan.
“Sebuah pesawat C-130 Turkiye hilang dari radar Sakaeronavigatsia beberapa minit selepas memasuki ruang udara Georgia tanpa menghantar isyarat kecemasan,”katanya dalam kenyataan sambil menambah ia telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.
“Lapangan terbang di Ganja, Azerbaijan – di mana pesawat milik Turkiye itu berlepas, telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut, begitu juga dengan Turkiye,” tambahnya.
Pesawat kargo tentera C-130, Hercules, dibuat oleh syarikat Amerika Syarikat, Lockheed Martin. – AFP
















