Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa pemilihan calon untuk Pilihan Raya Negeri Sabah mestilah tepat dengan kehendak rakyat terutama melibatkan calon lompat.

Menurutnya, ia kerana sejak dulu lagi, PKR ada pandangan berbeza mengenai calon lompat.

Dakwanya, wujud satu pandangan yang merasakan calon lompat adalah seperti durian runtuh kerana yang melompat itu selalunya sudah ada nama, ada pangkat dan mereka ada pengaruh.

Kalau yang melompat itu adalah bekas wakil rakyat di kawasan itu sebelum ini, peluang menang mungkin lebih tinggi.

Bagaimanapun, ada lain pandangan berpendapat calon lompat tidak serasi dengan jiwa reformasi yang mahu melihat ahli politik yang berprinsip.

“Jika calon yang melompat itu benar-benar berjiwa reformasi, kita tidak perlulah lawan dia sebelum ini – sama ada memang dia sudah berada dalam PKR dari awal, atau dia seorang wakil rakyat yang baik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai 10 calon PKR termasuk empat calon payung terjun iaitu calon-calon yang lompat dari parti lain atau calon yang baru masuk parti.

Katanya, calon yang baru masuk parti iaitu Datuk Ruji Ubi bagi kerusi Merotai, lebih mudah untuk difahami kerana beliau berprofil tinggi dan bekas pegawai kanan kerajaan, sekali gus boleh menambah nilai PKR di mata rakyat.

Namun, tiga orang lagi calon mempunyai rekod suka melompat parti iaitu Datuk Yamani Hafez Tun Musa Aman, Datuk Jamawi Jaafar dan George Hiew.

Katanya, PKR tampil di persada politik negara dengan janji untuk membawa politik baharu dan membuang budaya lama yang menjadikan mandat rakyat sebagai percaturan tawar menawar.

Bahkan, PKR pernah ada pengalaman masuk pilihan raya dengan menampilkan bekas wakil rakyat yang lompat parti, iaitu semasa pilihan raya negeri Melaka yang lepas dan keputusannya tidak baik.

“PKR kalah semua kerusi walaupun dalam PRU 2018 PKR mencatatkan kemenangan terbesar dalam sejarah di Melaka,” ujarnya.

Rafizi mendakwa, Datuk Yamani Hafez Tun Musa Aman adalah anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah sekarang, pernah menganggotai UMNO, kemudian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kini PKR.

Dakwanya lagi, Yamani akan menjadikan parti yang berkuasa di Persekutuan sebagai platform politik beliau.

Begitu juga calon Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, juga pernah menyertai UMNO dan bersama Parti Warisan ketika Sabah di bawah pentadbiran parti tersebut.

Namun, semasa Warisan jatuh pada tahun 2020 Warisan, beliau kembali kepada UMNO dan apabila UMNO tidak sebulu dengan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) tahun 2023, beliau bersama GRS dan kini PKR.

Rafizi menambah, calon George Hiew pula asalnya DAP, kemudian masuk Warisan dan sempat jadi pembantu Menteri tetapi apabila parti itu jatuh, dia menyertai GRS, dan kini PKR.

Mengulas keputusan tersebut, Rafizi berkata, pemimpin boleh berdepan dengan dua pilihan dalam setiap keputusan: sama ada memilih jalan pintas untuk menang (contohnya mengambil calon lompat yang pasang siap); atau memilih untuk menang atas usaha melahirkan calon-calon yang dididik sendiri oleh parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast